Apr 22, 2013

Ketaksuban Manusia

Gambaran Contoh

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini aku terpanggil untuk menulis mengenai isu TAKSUB ataupun lebih panjang maknanya sebagai 'ketaatan melulu' terhadap sesuatu perkara tanpa sebarang rujukan lain. Berlainan pula dengan TAAT iaitu 'kepatuhan' terhadap sesuatu yang hakikat dan irodat. Irodat merupakan salah satu daripada 20 sifat Allah SWT yang membawa maksud Kehendak-Nya.

Banyak perkara yang menjadi rahsia di dunia. Terdapat 2 jenis rahsia yang boleh kita bahagikan iaitu Rahsia Kekal (milik Allah SWT) dan Rahsia Dunia yang mampu difikirkan manusia. Perkara yang mampu terfikir dek akal manusia hanyalah Rahsia Dunia, yang mana rahsia ini dicipta oleh manusia atas keizinan-Nya. Aku bukanlah seorang yang sangat ilmiah namun dengan akal yang diberi, mudah-mudahan apa yang ku cari ini akan lebih membuatkan aku mengenali diriku, agamaku dan penciptaku.

Dunia yang menjadi tempat tinggal ku ini telah lama wujud. Dan telah berkali-kali di 'uli' @ dimusnahkan kembali diatas sebab-sebab tertentu. Samada kemusnahan semulajadi mahupun kemusnahan yang disebabkan oleh manusia itu sendiri. Setiap kemusnahan itu akan membentuk satu peradaban kehidupan yang baru. Satu jalan cerita yang baru.

Dari sini dapat kita lihat bagaimana Allah SWT itu menyayangi manusia untuk menjadi Khalifah yang lebih baik di muka bumi ini. Maka segala rahsia-rahsia terdahulu di kuburkan di dasar laut mahupun bersebati dengan alam semulajadi. Rahsia-rahsia ini merupakan Rahsia Dunia dan bukan Rahsia Kekal-Nya. Rahsia Dunia ini mampu di korek kembali asal usulnya dengan akal fikiran manusia ini. Tidak pernah dilarang untuk manusia mengungkit kisah-kisah lama, dan tidak juga dilarang manusia mengetahui asal-usul mereka.

Terdapat banyak pengkaji dan hasil kajian melalui tulisan, gambaran dan bukti. Kajian-kajian ini merupakan satu bahan ilmiah untuk golongan kebanyakan (bukan pengkaji). Kajian-kajian ini juga merupakan peninggalan lama yang menjadi Rahsia Dunia, suku kaum, agama, teknologi, peradaban lama. Tidak salah untuk membaca namun untuk mempercayai sesuatu itu memerlukan dalil yang soheh yang mampu mengesahkan sesuatu pengkajian itu. Jika tidak, sesuatu pengkajian itu hanya boleh dijadikan sebagai bahan bacaan riwayat mahupun hikayat bebas tanpa sebarang pengiktirafan.

Perkara yang ingin diperkatakan disini ialah Ketaksuban Manusia akhir zaman terhadap sesuatu ciptaan sehingga menggugat Kepatuhan terhadap seruan agama. Ketaatan melulu mengenai sesuatu fakta tanpa usul periksa, terutamanya daripada golongan kebanyakan (pembaca). Ketahuilah bahawa sikap/sifat ini hanya akan membawa bencana dan mampu memecah-belahkan kehidupan baru ini. TAKSUB dapat dilihat melalui pembawakan, tona lontaran suara dan cara berfikir.

Apabila seseorang itu mengambil sesuatu perkara yang didengarinya mahupun pembacaannya dan disebarkan kepada umum akan perkara yang baru diketahuinya itu, maka jatuhlah sifat TAKSUB dalam diri mereka. Mohon jauhkanlah diri ini daripada sifat-sifat yang merosakkan minda serta cara hidup (Islam) ini.

"Maha Suci Allah SWT, mohon jauhkanlah diri-ku dan hamba-hambamu daripada sifat-sifat takbur dan tunjukkanlah kami, suluhkan nur untuk kami menuju ke jalan-jalan yang benar dan diredhai. Kadang kami tersilap bahasa, kadang kami juga tersasar daripada laluan ke al-Jannah. Mohon perbetulkan salah silap kami Allah SWT."
Read more...

Mar 20, 2013

Trans Jerging (Gunung Suku - Irau)

Trans Jerging merupakan salah satu laluan idaman aku. Setelah sekian lama, akhirnya aku berpeluang untuk menjejakkan kaki di sepanjang laluan ini. Nama 'Jerging' yang diberi dipercayai sepenuhnya diambil sempena Sungai Jerging yang perlu dilintasi di pertengahan perjalanan ini.

16032012 (Sabtu) - Ekspedisi bermula daripada Masjid Kampung Raja, Cameron Highland. Setelah bertemu dengan para peserta yang rata-ratanya daripada bidang perhotelan, kami menaiki 4WD menuju ke Start Point Gunung Suku yang terletak di laluan Simpang Pulai-Cameron Highland. Sebagai langkah keselamatan harta benda peribadi, peserta yang membawa kenderaan sendiri dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kenderaan mereka di pintu masuk ke gunung tersebut. Salam perkenalan untuk 2 jam pertama memerlukan kami mendaki tebing 'lutut ke perut' untuk tiba di kawasan permatang yang landai sepanjang 30-50 meter.

Kemudian untuk tiba di Water Point pertama (WP1) memerlukan kami mendaki selama 5-10 minit. Punca air sangat sedikit terutamanya pada musim kering. Daripada WP1, perjalanan seterusnya ke puncak Gunung Suku mengambil masa lebih kurang 2 jam mendaki. Namun kecerunan rentis tidak seteruk awal perjalanan. Lewat jam 5.30 petang kami tiba di puncak Gunung Suku dan bermalam.

17032012 (Ahad) - Keadaan cuaca lebih berpihak kepada kami. Syukur seawal pagi ini kami dapat melihat paparan keindahan alam tatkala matahari naik. Tanpa melengahkan masa, dengan jentera Canon G12 aku merakamkan paparan-paparan indah ini. Kami mula bergerak menyambung perjalanan pada jam 10.30 pagi. Belum sempat meruntuhkan khemah, para pendaki lain sudah menyerbu kami tak sabar memeulakan perjalanan. Kelam kabut dibuatnya. "Ku sangka Kura-kura, rupa-rupanya Kijang yang datang", kata Nabil.

18032012 (Isnin) - Setelah berkemas dan membersihkan sampah kumpulan, kami bertolak turun menuju keluar daripada kawasan pelancongan yang digelar 'Mossy Forest Cameron Highland' ini. Longgokan yang sempat kami 'hapuskan' masih tidak dapat memperbaiki keindahan persekitaran. Memikirkan ada sahabat-sahabat yang ingin menjalankan misi pembersihan membuatkan hati ini tenang sedikit. Seperti biasa, tepat jam 10.30 pagi kumpulan kami bergerak turun dan selamat tiba lewat sedikit daripada perancangan asal iaitu jam 2.00 petang.

Line-up Crew: Am, Idan, Nabil, dan Shahrul Nizam (Ngai)

Read more...

Jan 28, 2013

Gunung Beremban, Endau Rompin

240113 (Khamis) - Merupakan kali yang ke-2 aku menjejakkan kaki ke Rompin. Misi pada kali ini adalah untuk menawan puncak Gunung Beremban. Gunung ini terletak di dalam kawasan Taman Negeri Endau Rompin. Barisan pendaki terdiri daripada Radzee Orga, Deybol, Kekerk, Atok (Azrul Ariffin), Akma, Jaja, Adik Idan, Kak Ina, Epul dan saya sendiri. Hari pertama kami perlu merempuh halangan melintas sungai utama dan menyusur sehingga ke Ulu Sungai Kernam. Meskipun arus agak deras namun digagahkan jua tubuh masing-masing agar impian tercapai. Kem pertama dibina di tepian Ulu Sungai Kernam. Perjalanan daripada luar mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk tiba di tapak perkhemahan ini.

250113 (Jumaat)
- Perjalanan hari ini lebih banyak mendaki dan menyusur permatang yang panjang. Syukur kerana sepanjang perjalanan ini tidak banyak tenaga yang kami perlu keluarkan untuk menebas. Ini kerana laluan hutan disini telah pun dicerobohi oleh pemburu Pokok Gaharu. Hampir 70% laluan yang dirancang oleh kami sama dengan laluan mereka ini. Laluan mendaki air terjun untuk tiba ke laluan permatang sangat mencabar. Kawasan hutan yang jarang dan permatang yang lebar memaksa kami untuk lebih berhati-hati agar tidak tersasar daripada laluan yang dirancang. Menjelang senja kami tiba di satu kawasan bongkah batu yang sangat besar dan memerlukan kami untuk menyusuri tepi batu sebelum mampu untuk mendaki ke permatang tertinggi gunung ini. Malam kian menjelma, misi berkhemah di point tertinggi iaitu beirut gunung ini tidak tercapai. Kem baru dibuka lagi dan dinamakan sebagai Kampung Tengah.


260113 (Sabtu) - Pagi ini kami bergerak secara freebody berbekalkan dengan makanan tengahari dan air minuman, menyambung kembali usaha mencari beirut Gunung Beremban. Alhamdulillah pada akhirnya kami ditemukan juga dengan beirut ini yang terletak di sebelah kiri permatang, bertentangan dengan laluan ke tapak perkhemahan kami. Setelah membersihkan kawasan beirut yang telah tumbang ini kami bergegas turun dengan harapan dapat keluar terus hingga ke pintu masuk Taman Negeri Endau Rompin. Namun, disebabkan insiden beberapa ahli kumpulan bahagian belakang tersasar laluan dan termasuk laluan pemburu Pokok Gaharu ke permatang yang lain telah membantutkan perjalanan  pulang. Kami kembali bermalam di Kem Ulu Sungai Kernam.

270113 (Ahad) - Hari ini kami berkemas dan bertolak pulang menuju ke pintu masuk Taman Negeri. Laluan pada hari pertama menjadi lebih mudah kerana rentis yang telah ditebas lebih jelas. Sungai utama yang perlu dilintasi juga telah surut airnya sehingga ke paras peha sahaja. Kami bergerak dengan lebih pantas untuk mengurangkan serangan pacat yang dahagakan darah manusia disini. Syukur kepada Illahi kembali, kerana sepanjang perjalanan ini kami dikurniakan dengan semangat yang membara, kudrat yang besar serta barisan pendaki yang memahami antara satu sama lain, terutamanya ketika bersama-sama dalam ekspedisi penerokaan gunung yang sangat jarang didaki ini.

Line-up Crew: Am, Idan, Radzee Orga, Deybol, Kekerk, Atok (Azrul Ariffin), Akma, Jaja, Kak Ina dan Epul

Read more...

Sep 17, 2012

Gunung Tapis (1512m)

Sekian lama aku mengidam nak menjejakkan kaki ini ke puncak Gunung Tapis yang terletak nun jauh di Sungai Lembing, Pahang. Tarikh 15-17hb September 2012 menjadi pilihan, Hari Malaysia disambut dengan pemandangan hijau yang menyejukkan dan ruang udara yang menyegarkan. Meskipun terdapat masalag-masalah yang melanda namun tetap aku gagahkan jua untuk memastikan perjalanan ekspedisi ini berlangsung seperti yang telah dirancangkan. Read more...

Sep 9, 2012

Di Ruang Waktu

Waktu. Setiap manusia punya 24 jam sehari sahaja kehidupan di dunia ini. Setiap detik waktu itu akan terus berjalan dan yang mewarnai kehidupan seseorang itu ialah perkara apa yang mereka lakukan dalam mengisi ruang di sempadan masa yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh 24 jam tersebut, boleh dikatakan hampir seluruh kawasan muka bumi ini menikmati cahaya dalam tempoh 12 jam, dan bergelap selama 12 jam. Bercerita mengenai had waktu manusia adalah diluar kemampuan aku kerana setiap manusia punya kehidupan mereka yang tersendiri. Cara mengisi waktu tersebut juga berbeza-beza.

Aku merupakan seorang manusia yang diberikan tempoh waktu yang sama. Namun kehidupan aku kadang di cemburui oleh kenalan terdekat. Disini aku nak ambil peluang untuk bercerita realiti kehidupan aku yang nampak best, rilex dan santai ini.

Tempoh 12 jam cahaya, biasanya aku akan bangun sebelum terbitnya fajar. Kemudian kembali melelapkan mata dengan harapan dapat menyambung kembali mainan tidur. Dalam situasi tertentu sahaja aku akan bertindak rajin mengisi ruang waktu di pagi hari melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Kemudian pada tempoh 6 jam siang yang seterusnya, biasanya aku akan melakukan kerja-kerja rumah yang tertangguh, persediaan mengajar, pergi mengajar, kemaskini event, menyiapkan kertas kerja, hantar kertas kerja, siapkan sebut harga, periksa kotak email dan menjaga tepi kain orang lain melalui laman sosial maya.

Setibanya waktu malam, aku akan keluar bersosial dengan rakan-rakan. Bersosial dengan rakan-rakan ini juga membuatkan kehidupan malam aku agak sibuk. Ini kerana aku punya 3 kategori rakan sahaja iaitu rakan satu sekolah yang sememangnya berada sangat dekat dengan aku, rakan tempat kerja lama dan rakan sepergunungan.

Hujung minggu pula merupakan waktu kemuncak untuk aku menjana pendapatan. Hujung minggu merupakan waktu yang paling berharga dalam hidup aku yang masih bujang ini. Aku bukanlah orang yang bekerja keras, atau seorang yang mementingkan kerjaya.

Namun disebabkan jalan yang dipilih ini menyebabkan jadual waktu kerja aku berlainan dengan kehidupan normal yang manusia pilih iaitu bekerja makan gaji. Disebabkan pilihan ini juga, aku tidak mampu untuk menjanjikan memori-memori indah hujung minggu pada setiap kali menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang wanita.

Waktu yang berlalu tidak dapat dipusing kembali. Luaran tampak sangat hebat, namun tetap tidak sempurna dicemari tompok kesunyian yang datang dan pergi sesuka hati. Secara tidak langsung membuatkan aku takut. Takut untuk meletakkan sebarang harapan.

Allah SWT sangat adil. Inilah dugaan hidup yang aku harus tempuh. Kepuasan hidup yang paling maksima bagi aku ialah apabila 'bahagia' itu muncul kembali, menjadi dan berkongsi akan perihal hidup aku yang penuh dengan pengembaraan ini. Bukan mudah nak sesuatu yang mudah, dan bukan susah untuk menjadikan sesuatu itu susah.
Read more...

Aug 27, 2012

Gunung Chondong Geliting (1829m)


Gunung ini terletak di kawasan Hutan Rizab Bukit Slim, Perak. Ketinggian gunung ini seperti yang tercatat di atas peta ialah 1829 meter aras paras laut. Puncak gunung ini juga terletak di atas laluan sempadan antara negeri Perak (Slim River) dan Pahang (Raub). Cabaran utama dalam melakukan pendakian ke gunung ini ialah pendaki perlu memulakan pendakian daripada kawasan tanah rendah (Hutan Dipterokarp Pamah), melalui laluan balak lama yang mengelirukan, denai memburu dan  melintasi beberapa permatang kecil untuk tiba di kaki gunung yang sebenar. Seperti sedia maklum, kawasan hutan bawah sememangnya sangat kaya dengan tumbuhan menjalar dan berduri, terutamanya pokok rotan dan resam.

TITIK MULA (STARTING POINT)
Maklumat yang disediakan disini adalah berdasarkan catitan perjalanan rintis rentis yang bermula daripada kawasan ladang getah FELCRA Kampung Pasir, Ulu Slim. Menurut maklumat yang diperoleh daripada orang kampung, terdapat laluan balak lama menghala ke kaki gunung ini. Bantuan perjalanan ke titik mula menggunakan khidmat pacuan 4 roda selama 45 minit (jika bermula daripada simpang Kolam Air Panas Ulu Slim) dapat menjimatkan banyak masa.

KEM 1 (CABANG SG. GELITING)
Perjalanan selama 4-5 jam daripada titik mula akan menemukan pendaki dengan sebuah kawasan lapang yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan. Terletak berhampiran dengan salah satu cabang anak Sungai Geliting. 

KEM 2 (PERMATANG)
Terletak pada ketinggian 1500 meter. Tiada sumber air berdekatan. Pendaki dinasihati untuk membawa bekalan air daripada aliran Sungai Durian untuk tujuan memasak dan minuman untuk pendakian daypack pada keesokan harinya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam daripada Sungai Durian ke tapak perkhemahan ini. Pendaki disarankan untuk menghadkan penggunaan air dalam masakan.

PUNCAK CHONDONG GELITING
Perjalanan mendaki mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit daripada Kem 2. Sepanjang perjalanan ke puncak gunung ini, pendaki akan melalui laluan berlumut, permatang Pokok Pine, lembah berduri dan juga kawasan buluh malam/perindu. Perjalanan turun kembali ke Kem 2 pula mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Terdapat 2 batang paip besi yang digunakan untuk menanda sempadan berada di puncak gunung ini.

KEM 3 (SUNGAI DURIAN)
Terdapat sebuah tapak perkhemahan yang bersesuaian berdekatan dengan aliran utama Sungai Durian yang dapat menampung lebih kurang 10-20 orang pendaki. Perjalanan turun ke tapak perkhemahan ini daripada Kem 2 mengambil masa lebih kurang 3 jam menuruni bukit sehingga berada pada tahap ketinggian 780 meter. Namun, langkah berjaga hendaklah diutamakan ketika ingin melintasi sungai ini pada musim hujan. Terdapat kesan-kesan berlakunya kebanjiran atau lebih dikenali sebagai kepala air pernah berlaku di kawasan ini.

CAPAIAN RANGKAIAN TELEFON
Antara kawasan yang mempunyai capaian rangkaian telefon (terutamanya Celcom) adalah seperti di kawasan Titik Mula (Ladang Getah), sepanjang laluan ke Sungai Beranggor dan Anak Sungai Geliting, Kem 1, Dinding Batu dan Permatang Pokok Pine.

Read more...

Aug 12, 2012

Eksplorasi Sungai Enam (Belum/Temenggor)

Sungai Enam merupakan salah satu spot pelancongan di sekitar Tasik Temenggor. Projek kerjasama antara Wild Junction, Rainwalker dan Royal Belum Resort telah memberikan aku peluang untuk menyelongkar di segenap penjuru hutan sekitar kawasan Sungai Enam ini. Berikut merupakan catatan kerja yang telah dilakukan sepanjang projek ini.



Ekspedisi Pertama (1-5 Julai 2012)
Tujuan utama ekspedisi selama 5 hari ini adalah untuk membuka 3 laluan hutan untuk tujuan penyelidikan pada masa akan datang. Kami diberitahu bahawa terdapat laluan lama disekitar kawasan Sungai Enam ini, samada laluan balak lama, rentis sempadan hutan, rentis latihan tentera dan rentis pemburu Gaharu. Ekspedisi pada kali ini disertai oleh 3 orang jurupandu daripada Wild Junction iaitu Harikrishna Batunipah, Idham Hatta dan saya sendiri, Nik Khairul Amri. Manakala daripada pihak lain pula ialah Chandra, Abdullah Ooi, Latiff dan 3 pembantu Orang Asli.

Selama 5 hari berada di Sungai Tiang, pihak kami berjaya membuka Laluan 1 (Trail 1) daripada Base Camp menghala ke puncak 870, Laluan 2 (Trail 2) menghala ke Advance Base Camp dan High Camp serta Laluan 3 (Trail 3) menghala ke puncak 866. Pihak kami hanya mampu cover sebanyak 9 map square sahaja untuk ekspedisi pada kali ini kerana kesuntukan masa dan beberapa faktor yang tidak menginzinkan.


Ekspedisi Ketiga (19-21 September 2012)

Kembali ke Gerik untuk proses persediaan terakhir sebelum ekspedisi sebenar pada awal Oktober nanti. Objektif utama kunjungan pada kali ini ialah untuk menandakan rentis-rentis yang telah dibuka, mengenal pasti tarikan-tarikan utama dan membersihkan kawasan perkhemahan terakhir.

Agak mengecewakan kerana salah seorang daripada kami tidak dapat hadir, malah mungkin tidak menyertai kumpulan kami dalam mengendalikan projek ini pada bulan hadapan. Kami akan merindui kamu wahai sahabat, dan semoga berjaya dengan apa yang anda lakukan.

Kunjungan kami pada kali ini juga disertai oleh seorang jurupandu yang merupakan seorang sahabat yang dipercayai akan kebolehan beliau, dan juga beberapa crew suntingan video. Juga pertemuan dengan Dr. Baskaran daripada PBF yang selama ini aku hanya mendengar bualan mulut sahaja, kini telah bersemuka secara peribadi.
Read more...

Jul 31, 2012

Trans Sumatera (Fasa Satu)

Sering kali melihat orang lain mengembara beribu-ribu batu, samada berjalan kaki, berbasikal mahupun kenderaan darat berinjin. Dalam hati aku mula bicara, "Inilah peringkat seterusnya dalam hidup aku. Melihat dunia jauh dengan lebih dekat. Pengalaman alami secara terus."

Perancangan merupakan kunci utama untuk memastikan perjalanan kembara ini punya arah tujuan. Tidak perlu terlalu kompleks dan terperinci agar kembara lebih mencabar. Semangat, keberanian dan kecekalan. Semuanya akan diuji apabila tiba masanya nanti.

Indonesia merupakan antara negara pilihan aku untuk kembara jalanan ini. Gaya yang dipilih semestinya Backpacking dan Hitch-hiking. Tempat-tempat tumpuan pelancong tipikal akan cuba aku elakkan. Gunung-gunung tertinggi merupakan satu idaman. Danau-danau yang memukau pasti dirakam.

Dengan lafaz Bismillah, Insyallah kembara Trans Indonesia daripada Melaka ke Dumai, menghala ke Padang dan turun sampai ke Mataram ini akan dilaksanakan. Inilah kembara Fasa Satu yang dirancangkan.
Read more...

Jun 3, 2012

Gunung Bubu, Kuala Kangsar (1657m)

Pada tanggal 2hb Jun sehingga 3hb June 2012 merupakan tarikh keramat buat kali ke-2 aku mendaki Gunung Bubu yang terletak di Kuala Kangsar, Perak ini. Kali terakhir aku menjejakkan kaki di atas puncak gunung ini ialah pada tahun 2007, iaitu ketika masih berkhidmat di Outward Bound Malaysia Lumut.

Namun pada kali ini, ekspedisi yang dianjurkan oleh sahabat aku Encik Fadzli Bakri atau nama panggilan beliau Encik Gate dilakukan dengan lebih singkat iaitu 2 hari 1 malam. Dalam ingatan aku yang masih samar-samar ini, sebelum ini ekspedisi ini biasanya dilakukan selama 3 hari 2 malam. Meskipun begitu, ianya bukanlah satu halangan untuk aku meneruskan pendakian ini untuk tempoh yang lebih singkat.

Kumpulan pendaki rata-ratanya merupakan pendaki yang tidak ku kenali secara langsung. Ini merupakan perkara yang baik dan peluang untuk aku mengenali pendaki-pendaki lain. Turut membantu dalam pendakian ini ialah Encik Dan Crazyhamster. Selain daripada itu beberapa pendaki berpengalaman seperti Ku Ezi Zarina dan Kak Mai turut bersama-sama dalam ekspedisi ini.

Penulisan pada kali ini sedikit pendek berbanding penulisan aku yang lain. Rasanya tidak perlu aku menceritakan keseluruhan pengalaman pendakian ini. Bimbang penulisan aku akan berakhir separuh jalan seperti blog-blog lain yang masih belum lengkap.

Secara keseluruhannya, pendakian pada kali ini tidak mendatangkan apa-apa masalah kecuali kecederaan biasa seperti terseliuh dan tidak larat meneruskan perjalanan sememangnya tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila bersama-sama pendaki baru. Alhamdulillah 12 orang daripada jumlah keseluruhan 15 orang pendaki berjaya menjejakkan kaki dengan selamat di atas puncak gunung ini tepat pada jam 12 tengahari pada tarikh 3hb Jun 2012.

Kumpulan pendaki terakhir selamat turun/pulang ke Hutan Lipur Ulu Kenas tepat jam 10.00 malam. Jumlah keseluruhan tempoh pendakian pada kali ini dianggarkan lebih kurang 23 jam mengikut kiraan waktu ketibaan pendaki terakhir.

Bersama-sama ini juga akan aku sertakan lakaran perjalanan yang pernah aku catatkan dahulu dan telah dikemaskini semula bersama kiraan tempoh perjalanan yang baru untuk setiap check-point.


Read more...

Apr 15, 2012

Mount Liang East & West 2012


Ekspedisi pada kali ini merupakan projek terakhir aku bersama UiTM Kampus Johor Bahru. Pendakian ke Gunung Liang East dan West yang akan mencukupkan latihan persediaan mereka sebelum menawan puncak yang ke-10 iaitu Gunung Kinabalu. Berikut merupakan catatan yang dapat aku ingat sepanjang perjalanan  selama 3 hari 2 malam ini:-

12 April 2012 - Bersama-sama Boiy Nadz dan Encik Harikrishna Batunipah bertolak daripada Damansara menuju ke Tanjung Malim melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Sepanjang perjalanan, tiada sebutir pun kilauan bintang menghiasi langit. Kami diberitahu oleh brader lori, "Hujan lebat tak berhenti kat Tanjung Malim nie..". Perancangan asal kami ialah untuk terus masuk ke kawasan empangan sejurus kumpulan pendaki tiba. Namun akhirnya disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak mengizinkan menyebabkan perancangan diubah kepada "Pakej tidur dalam hotel bergerak berhawa dingin di Tanjung Malim"

13 April 2012 - Seawal jam 6.00 pagi, crew bangun menunaikan solat Subuh, berkemas dan sediakan makan pagi untuk pendaki. Sarapan nasi lemak dan teh o diberikan kepada pendaki di Hentian Rehat berhadapan Balai Polis Tanjung Malim. Punyalah malas nak masak punya pasal. Satu lagi.. baru aku tahu punyalah susah nak cari Nasi Putih di pagi hari....

Kemudian, kumpulan pendaki meneruskan perjalanan seterusnya iaitu perjalanan terakhir pada hari ini iaitu ke puncak Perdah. Puncak ini terletak di kawasan perkampungan Orang Asli Sungai Ruil. Alhamdulillah kesemua peserta selamat tiba di puncak ini meskipun terdapat kecederaan kecil di lutut (lutut veteran) pada barisan belakang. Tepat jam 6.45 petang kumpulan pendaki turun ke Sungai Ruil dan berjalan pulang melalui jalan raya menuju ke Pekan Brinchang sejauh 1.8KM (sahaja).

14 April 2012 - Seawal jam 6.00 pagi, crew telah bangun dan mula menyiapkan sarapan dan bekalan makan tengahari. Terdapat masalah teknikal disini, dimana pendakian ke Gunung Irau terpaksa dibatalkan kerana rentis telah ditutup untuk tujuan baik-pulih dan naik-taraf. Pendakian tersebut telah digantikan dengan pendakian santai ke Gunung Ubi yang terletak berdekatan dengan ladang "Bharat Tea" yang terletak diantara Ringlet dan Tanah Rata. Baton Guide telah bertukar tangan pula kepada Encik Botak Germen.

Selesai sarapan pagi, kumpulan pendaki di hantar menaiki bas mereka sendiri ke ladang "Bharat Tea". Pendaki di bawa melalui kawasan ladang teh menuju ke Kampung Orang Asli Sungai Ubi. Perjalanan melalui ladang teh yang menghijau memberi satu kenikmatan dan kelainan dimana pendaki dapat menghirup udara yang segar disamping menyimpan memori-memori indah berlatar-belakangkan pemandangan yang cantik.

Line-up Crew: Am, Encik Botak Germen, Encik Yo PETZL, dan Encik Harikrishna Batunipah

Read more...

Previous Home