Aug 27, 2012

Gunung Chondong Geliting (1829m)


Gunung ini terletak di kawasan Hutan Rizab Bukit Slim, Perak. Ketinggian gunung ini seperti yang tercatat di atas peta ialah 1829 meter aras paras laut. Puncak gunung ini juga terletak di atas laluan sempadan antara negeri Perak (Slim River) dan Pahang (Raub). Cabaran utama dalam melakukan pendakian ke gunung ini ialah pendaki perlu memulakan pendakian daripada kawasan tanah rendah (Hutan Dipterokarp Pamah), melalui laluan balak lama yang mengelirukan, denai memburu dan  melintasi beberapa permatang kecil untuk tiba di kaki gunung yang sebenar. Seperti sedia maklum, kawasan hutan bawah sememangnya sangat kaya dengan tumbuhan menjalar dan berduri, terutamanya pokok rotan dan resam.

TITIK MULA (STARTING POINT)
Maklumat yang disediakan disini adalah berdasarkan catitan perjalanan rintis rentis yang bermula daripada kawasan ladang getah FELCRA Kampung Pasir, Ulu Slim. Menurut maklumat yang diperoleh daripada orang kampung, terdapat laluan balak lama menghala ke kaki gunung ini. Bantuan perjalanan ke titik mula menggunakan khidmat pacuan 4 roda selama 45 minit (jika bermula daripada simpang Kolam Air Panas Ulu Slim) dapat menjimatkan banyak masa.

KEM 1 (CABANG SG. GELITING)
Perjalanan selama 4-5 jam daripada titik mula akan menemukan pendaki dengan sebuah kawasan lapang yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan. Terletak berhampiran dengan salah satu cabang anak Sungai Geliting. 

KEM 2 (PERMATANG)
Terletak pada ketinggian 1500 meter. Tiada sumber air berdekatan. Pendaki dinasihati untuk membawa bekalan air daripada aliran Sungai Durian untuk tujuan memasak dan minuman untuk pendakian daypack pada keesokan harinya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam daripada Sungai Durian ke tapak perkhemahan ini. Pendaki disarankan untuk menghadkan penggunaan air dalam masakan.

PUNCAK CHONDONG GELITING
Perjalanan mendaki mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit daripada Kem 2. Sepanjang perjalanan ke puncak gunung ini, pendaki akan melalui laluan berlumut, permatang Pokok Pine, lembah berduri dan juga kawasan buluh malam/perindu. Perjalanan turun kembali ke Kem 2 pula mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Terdapat 2 batang paip besi yang digunakan untuk menanda sempadan berada di puncak gunung ini.

KEM 3 (SUNGAI DURIAN)
Terdapat sebuah tapak perkhemahan yang bersesuaian berdekatan dengan aliran utama Sungai Durian yang dapat menampung lebih kurang 10-20 orang pendaki. Perjalanan turun ke tapak perkhemahan ini daripada Kem 2 mengambil masa lebih kurang 3 jam menuruni bukit sehingga berada pada tahap ketinggian 780 meter. Namun, langkah berjaga hendaklah diutamakan ketika ingin melintasi sungai ini pada musim hujan. Terdapat kesan-kesan berlakunya kebanjiran atau lebih dikenali sebagai kepala air pernah berlaku di kawasan ini.

CAPAIAN RANGKAIAN TELEFON
Antara kawasan yang mempunyai capaian rangkaian telefon (terutamanya Celcom) adalah seperti di kawasan Titik Mula (Ladang Getah), sepanjang laluan ke Sungai Beranggor dan Anak Sungai Geliting, Kem 1, Dinding Batu dan Permatang Pokok Pine.

Previous Home