Waktu. Setiap manusia punya 24 jam sehari sahaja kehidupan di dunia ini. Setiap detik waktu itu akan terus berjalan dan yang mewarnai kehidupan seseorang itu ialah perkara apa yang mereka lakukan dalam mengisi ruang di sempadan masa yang telah ditetapkan.
Dalam tempoh 24 jam tersebut, boleh dikatakan hampir seluruh kawasan muka bumi ini menikmati cahaya dalam tempoh 12 jam, dan bergelap selama 12 jam. Bercerita mengenai had waktu manusia adalah diluar kemampuan aku kerana setiap manusia punya kehidupan mereka yang tersendiri. Cara mengisi waktu tersebut juga berbeza-beza.
Aku merupakan seorang manusia yang diberikan tempoh waktu yang sama. Namun kehidupan aku kadang di cemburui oleh kenalan terdekat. Disini aku nak ambil peluang untuk bercerita realiti kehidupan aku yang nampak best, rilex dan santai ini.
Tempoh 12 jam cahaya, biasanya aku akan bangun sebelum terbitnya fajar. Kemudian kembali melelapkan mata dengan harapan dapat menyambung kembali mainan tidur. Dalam situasi tertentu sahaja aku akan bertindak rajin mengisi ruang waktu di pagi hari melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
Kemudian pada tempoh 6 jam siang yang seterusnya, biasanya aku akan melakukan kerja-kerja rumah yang tertangguh, persediaan mengajar, pergi mengajar, kemaskini event, menyiapkan kertas kerja, hantar kertas kerja, siapkan sebut harga, periksa kotak email dan menjaga tepi kain orang lain melalui laman sosial maya.
Setibanya waktu malam, aku akan keluar bersosial dengan rakan-rakan. Bersosial dengan rakan-rakan ini juga membuatkan kehidupan malam aku agak sibuk. Ini kerana aku punya 3 kategori rakan sahaja iaitu rakan satu sekolah yang sememangnya berada sangat dekat dengan aku, rakan tempat kerja lama dan rakan sepergunungan.
Hujung minggu pula merupakan waktu kemuncak untuk aku menjana pendapatan. Hujung minggu merupakan waktu yang paling berharga dalam hidup aku yang masih bujang ini. Aku bukanlah orang yang bekerja keras, atau seorang yang mementingkan kerjaya.
Namun disebabkan jalan yang dipilih ini menyebabkan jadual waktu kerja aku berlainan dengan kehidupan normal yang manusia pilih iaitu bekerja makan gaji. Disebabkan pilihan ini juga, aku tidak mampu untuk menjanjikan memori-memori indah hujung minggu pada setiap kali menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang wanita.
Waktu yang berlalu tidak dapat dipusing kembali. Luaran tampak sangat hebat, namun tetap tidak sempurna dicemari tompok kesunyian yang datang dan pergi sesuka hati. Secara tidak langsung membuatkan aku takut. Takut untuk meletakkan sebarang harapan.
Allah SWT sangat adil. Inilah dugaan hidup yang aku harus tempuh. Kepuasan hidup yang paling maksima bagi aku ialah apabila 'bahagia' itu muncul kembali, menjadi dan berkongsi akan perihal hidup aku yang penuh dengan pengembaraan ini. Bukan mudah nak sesuatu yang mudah, dan bukan susah untuk menjadikan sesuatu itu susah.