240113 (Khamis) - Merupakan kali yang ke-2 aku menjejakkan kaki ke Rompin. Misi pada kali ini adalah untuk menawan puncak Gunung Beremban. Gunung ini terletak di dalam kawasan Taman Negeri Endau Rompin. Barisan pendaki terdiri daripada Radzee Orga, Deybol, Kekerk, Atok (Azrul Ariffin), Akma, Jaja, Adik Idan, Kak Ina, Epul dan saya sendiri. Hari pertama kami perlu merempuh halangan melintas sungai utama dan menyusur sehingga ke Ulu Sungai Kernam. Meskipun arus agak deras namun digagahkan jua tubuh masing-masing agar impian tercapai. Kem pertama dibina di tepian Ulu Sungai Kernam. Perjalanan daripada luar mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk tiba di tapak perkhemahan ini.
250113 (Jumaat) - Perjalanan hari ini lebih banyak mendaki dan menyusur permatang yang panjang. Syukur kerana sepanjang perjalanan ini tidak banyak tenaga yang kami perlu keluarkan untuk menebas. Ini kerana laluan hutan disini telah pun dicerobohi oleh pemburu Pokok Gaharu. Hampir 70% laluan yang dirancang oleh kami sama dengan laluan mereka ini. Laluan mendaki air terjun untuk tiba ke laluan permatang sangat mencabar. Kawasan hutan yang jarang dan permatang yang lebar memaksa kami untuk lebih berhati-hati agar tidak tersasar daripada laluan yang dirancang. Menjelang senja kami tiba di satu kawasan bongkah batu yang sangat besar dan memerlukan kami untuk menyusuri tepi batu sebelum mampu untuk mendaki ke permatang tertinggi gunung ini. Malam kian menjelma, misi berkhemah di point tertinggi iaitu beirut gunung ini tidak tercapai. Kem baru dibuka lagi dan dinamakan sebagai Kampung Tengah.
260113 (Sabtu) - Pagi ini kami bergerak secara freebody berbekalkan dengan makanan tengahari dan air minuman, menyambung kembali usaha mencari beirut Gunung Beremban. Alhamdulillah pada akhirnya kami ditemukan juga dengan beirut ini yang terletak di sebelah kiri permatang, bertentangan dengan laluan ke tapak perkhemahan kami. Setelah membersihkan kawasan beirut yang telah tumbang ini kami bergegas turun dengan harapan dapat keluar terus hingga ke pintu masuk Taman Negeri Endau Rompin. Namun, disebabkan insiden beberapa ahli kumpulan bahagian belakang tersasar laluan dan termasuk laluan pemburu Pokok Gaharu ke permatang yang lain telah membantutkan perjalanan pulang. Kami kembali bermalam di Kem Ulu Sungai Kernam.
270113 (Ahad) - Hari ini kami berkemas dan bertolak pulang menuju ke pintu masuk Taman Negeri. Laluan pada hari pertama menjadi lebih mudah kerana rentis yang telah ditebas lebih jelas. Sungai utama yang perlu dilintasi juga telah surut airnya sehingga ke paras peha sahaja. Kami bergerak dengan lebih pantas untuk mengurangkan serangan pacat yang dahagakan darah manusia disini. Syukur kepada Illahi kembali, kerana sepanjang perjalanan ini kami dikurniakan dengan semangat yang membara, kudrat yang besar serta barisan pendaki yang memahami antara satu sama lain, terutamanya ketika bersama-sama dalam ekspedisi penerokaan gunung yang sangat jarang didaki ini.
Jan 28, 2013
Gunung Beremban, Endau Rompin
Line-up Crew: Am, Idan, Radzee Orga, Deybol, Kekerk, Atok (Azrul Ariffin), Akma, Jaja, Kak Ina dan Epul
nukilan
gigaslave