Apr 3, 2010

Kinabalu Oh Kinabalu

Kinabalu
Gunung Kinabalu! Gunung yang tertinggi di Malaysia. Dah lama aku idamkan untuk mendaki gunung ini dan akhirnya impian itu bakal tercapai. Betapa gembiranya diri ini, malah akan menjejakkan kaki ini buat pertama kalinya ke negeri di bawah bayu iaitu Sabah. Selama ini tengok dalam TV jer, namun kali ini betul-betul akan kesana.

Tarikh 28 Mac 2010 merupakan tarikh keramat tersebut, ku jejakkan kaki ke LCCT berkumpul bersama teman-teman sepergunungan menanti penerbangan pada jam 6.30am. Seramai 15 orang terlibat dalam program pendakian ini. Ada yang baru, lama, tua dan muda. Bagi tidak menyusahkan beberapa pihak aku terpaksa berkais, al-maklumlah dunia maya agak bahaya dan berita mudah tersebar. Setuju?

Semasa berada di LCCT, masalah pertama datang tanpa salam, "Semua orang sila beri IC untuk proses check-in", kata penganjur. Dengan bangga aku buka wallet dengan niat memberi IC yang akhirnya tidak ketemu. Entah mana letaknya.. aku pun tak tahu. Namun masalah ini dapat aku selesaikan dengan tenangnya. Alhamdulillah nasib baik aku bawa pasport bersama.

Tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kami singgah di sebuah kompleks membeli belah mengisi perut sambil membiasakan diri dengan persekitaran baru. Pelajaran pertama pada hari pertama, makanan disini agak mahal, atau kami dilayan seperti "orang luar" juga? Wallahualam, jangan berprasangka, masih awal lagi.. Kemudian kami terus dibawa menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kinabalu Park HQ. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2-3jam menaiki bas yang disewa khas oleh penganjur, melalui jalan berbukit seperti di Cameron Highland dan Fraser Hill.

Selepas tiba di Kinabalu Park HQ, penganjur menguruskan proses pendaftaran dan check-in ke asrama. Kami bermalam di Grace Hostel. Cuaca? Sejukkk. Kami tidur semalaman disini sebelum memulakan pendakian daripada Timpohon Gate ke-esokan harinya. Orang kata mendaki dari Timpohon lebih mudah, bak mendaki tangga di Batu Cave aja. Itu kata orang lah. Belum cuba belum tahu betul tak? Makan malam kami disediakan di Balsam Cafe secara buffet. Hostel hari pertama agak mewah kerana tuala, sabun, syampu dan air panas disediakan. Peringatan: Jangan guna tuala sendiri, nanti basah tak sempat kering.

Mini Map Kinabalu Park HQ

Keesokan harinya kami berjalan menuju ke Reception Office untuk mendapatkan permit/kad pendakian dan transport untuk ke Timpohon Gate yang sejauh 4.5KM daripada Kinabalu Park HQ. Nasib baik ada transport, kalau tidak mau patah kaki berjalan sejauh 4.5KM naik bukit. Perjalanan hari ini adalah dari Timpohon Gate ke Laban Rata. Memang betul apa yang orang kata dan disepanjang perjalanan aku tidak putus-putus memikirkan perkara lain selain daripada memuji kehebatan orang Sabah dalam membersihkan trek, memecah batu-batu, menarah trek membentuk anak-anak tangga dan memikul kayu sehingga ke Laban Rata semata-mata untuk membuat tangga bagi memudahkan perjalanan pendaki.

Hujan turun dengan lebat sepanjangan perjalanan daripada Timpohon Gate ke Laban Rata. Masalah ke-2 aku muncul iaitu aku tidak bawa poncho. Mengharapkan jaket Consina semata-mata, sayang untuk membasahinya, aku simpan sahaja untuk kegunaan esok hari. Apa nak ditakutkan dengan hujan? Bukan tidak biasa bermain dengannya, janji jangan tunggu lama-lama sebelum badan menggigil baik teruskan sahaja perjalanan.

Kumpulan terakhir tiba di Laban Rata sebelum matahari terbenam. Dorm kami terletak atas sedikit iaitu di Gunting Lagadan, 5 minit perjalanan daripada Laban Rata. Keadaan cuaca? Sangat sejuk, dalam lingkungan 10'c. Tidur/rehat disini selama beberapa jam sebelum memulakan pendakian seawal jam 2 pagi pada keesokan harinya. Masalah ke-3 aku muncul di Gunting Lagadan. Aku tidur dalam keadaan yang tidak selesa, rasa-rasanya selimut yang diberikan agak berhabuk dan mengganggu rongga pernafasan aku.

Jam 1.30am aku dikejutkan, dan.. masalah ke-4 muncul!! Aku DEMAM!! Benak hatiku berkata, "Demam tak demam kena cuba juga, dah sampai sini rugi kalau tak mendaki naik ke puncak." Jam 2.45am jurupandu tiba dan perjalanan diteruskan. Punyalah ramai orang beratur untuk ke puncak. Aku rimas dengan keadaan ini dan keadaan kesihatan yang tak seberapa ini. Bermula sahaja pendakian aku dah rasa nak muntah. Nasib baik ada seorang rakan menjadi teman disepanjang perjalanan.

Alhamdulillah secara perlahan-lahan aku berjaya mendaki sehingga ke Check Point Sayat-Sayat. Disini kami perlu menunjukkan permit/pas mendaki sebagai rekod. Disini kepala aku terasa semakin berat dan kelopak mata menjadi panas. Aku buat bodoh aja dan meneruskan pendakian. Semakin dekat aku dengan puncak semakin tidak selesa aku rasa. Cuaca semakin sejuk diikuti dengan hembusan angin. Silap aku tidak bawa sarung tangan (memang tak ada pun). Tangan terpaksa diletakkan didalam poket seluar sepanjang masa.

KM8.5, gembira rasanya apabila bertemu dengan papan-papan tanda aras ini. Disini, diketinggian 4072m ini akhirnya berjaya mengalahkan semangat yang aku bawa bersama. Jika mata sudah tidak dapat melihat dengan jelas, dan langkah longlai terhuyung-hayang, lebih baik berhenti dan berkata, "Cukuplah setakat ini sahaja.. Mungkin tiada rezeki aku pada kali ini." Dapat aku lihat kerlipan lampu suluh orang yang pertama di puncak Low's Peak yang kelihatan jauh 200m dihadapan. Di hujung sebelah kiri pula tersergam dekat South Peak @ puncak RM1?? Dengan pilu aku berpatah turun.

Kata hati aku berkata, "Turun". Maka turun lah jawapannya. Pengalaman mengajar aku untuk bertindak dengan bijak dalam melalui detik-detik seperti ini. Jangan kata aku tidak cuba sedaya upaya. Kalau nak diikutkan hati memang aku tidak akan mendaki, akan tetapi disebabkan memikirkan tujuan dan matlamat aku gagahkan juga badan ini sejauh yang mungkin. Syukur aku dapat melihat keajaiban dan keindahan ini.

Kinabalu Oh Kinabalu, kau memabuat aku tersenyum sendiri dan menanam rasa rindu untuk kembali menawanmu. Sungguhpun kau kecewakan diriku pada kali ini namun semangat untuk kembali tidak akan patah sama sekali. Kau tunggu kedatanganku.. Kinabalu!

Previous Home