Sep 1, 2011

Ramadhan di Ulu Sepat


26-28hb Ogos 2011 - Melakukan aktiviti pendakian gunung pada bulan Ramadhan merupakan satu cabaran. Terutamanya dari segi fizikal dan tidak lupa juga cabaran mental yang mengatasi segalanya. Puasa tetap puasa, kerja tetap kerja. Mana mungkin dipisahkan kerja semata-mata kerana Ramadhan. Orang kata, "Hendak seribu daya, tidak pula seribu dalih.". Maha Suci Pencipta yang menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Inilah waktunya untuk aku buktikan kemampuan diriku.

Tarikh pendakian ini pula amat dekat dengan sambutan Aidilfitri. Banyak pendangan dan nasihat-nasihat negatif yang ku terima, kebanyakannya daripada kalangan pendaki juga. Namun ku terima dengan hati terbuka pandangan/pendapat masing-masing. Seperti yang aku nyatakan diatas, kerja tetap kerja.. dan kerja aku luar biasa!

Misi pada kali ini adalah membawa kumpulan pendaki yang ingin melengkapkan senarai 7 gunung tertinggi mereka di Semenanjung ke Gunung Ulu Sepat. Perjalanan bermula di Gerik, Perak. Seperti yang dirancang, perjalanan dimulakan dengan menaiki bot daripada Jeti Pengkalan Trojan selama 1 jam menuju ke Jeti Pos Kemar. Setelah tiba di Pos Kemar, pendaki dikehendaki menaiki pacuan 4-roda (4WD) pula selama 30 minit ke Intake Point.

Pendakian selama 3 hari 2 malam ini disertai oleh seramai 22 orang peserta termasuk jurupandu. Rata-rata pendaki terdiri daripada golongan veteran yang masih gagah dan bersemangat kental! Pendaki paling tua sekali berumur 62 tahun dan yang paling muda berumur 20 tahun. Secara tidak langsung fenomena ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat kepada golongan muda yang menyertai misi ini.

Alhamdulillah syukur kepada Illahi aku mampu untuk menangani segala bentuk cabaran tanpa menggugatkan iman aku sebagai seorang muslim yang sedang berusaha memberi khidmat terbaik kepada client sambil melakukan Rukun Islam ke-3 ini. Nasib juga menyebelahi aku kerana tidak mengambil upah sebagai porter dalam ekspedisi ini. Kalau boleh memang aku nak elakkan daripada melakukan kerja tersebut. Tidak mahu perkara yang sama terjadi ketika di Gunung Tahan dahulu..

Sebagai penutup tulisan pada kali ini, tahniah diucapkan kepada para pendaki yang terlibat dalam ekspedisi yang diuruskan oleh WILD JUNCTION ini. Syukur kerana semua pendaki selamat dan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Ulu Sepat yang berketinggian 2161m apl ini tanpa sebarang masalah. Terima kasih, dan diharap dapat menyertai mana-mana trip yang kami anjurkan lagi pada masa hadapan.

Previous Home