Sep 22, 2011

KORGA 3D2N


16-18hb September 2011 - Ekspedisi pendakian ke Gunung Korbu dan Gayong pada kali ini agak mencabar sedikit. Meskipun pihak WILD JUNCTION telah memberi penerangan jelas mengenai perjalanan ekspedisi yang biasanya dilakukan selama 4 hari 3 malam ini kepada client kami ini, namun beliau tetap berkeras untuk melakukannya dalam masa 3 hari. Latar belakang kumpulan beliau tidak dikaji secara mendalam dan kami tidak meletak harapan yang terlalu tinggi untuk mana-mana kumpulan baru untuk melakukan ekspedisi compress seperti ini.

Namun sangkaan kami meleset! Ya mereka semua BERJAYA mengharungi perjalanan jauh ini dan menghabiskannya dalam tempoh masa seperti yang dibincangkan dan diusulkan oleh pihak kami. Ternyata disini faktor umur, pengalaman dan jantina bukan penghalang dalam seseorang itu melakukan aktiviti pendakian seperti ini. Agak sukar untuk sesebuah kumpulan itu melakukan ekspedisi KORGA 3D2N jika mereka tiada disiplin untuk bangun awal pagi, mengekalkan semangat sepanjang hari dan keazaman yang kuat untuk terus bertahan menuruni puncak Gunung Korbu sehingga ke Intake Point Empangan SAS Ulu Kinta dalam masa 8-12 jam. Dan agak perih juga untuk dilakukan oleh golongan pendaki yang sudah berumur menjangkaui 50 tahun.

Perjalanan pada hari pertama iaitu 16hb September bermula pada jam 10.30am daripada Intake Point menuju ke Kem Kijang. Kami berhenti rehat untuk makan tengahari di CP Waterfall selama 30 minit. Kemudian mendaki Bukit Penat menuju ke Kem Seroja. Di kem ini kami berehat selama 1 jam sebelum meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan sebenar iaitu di Kem Kijang. Pendaki terakhir selamat tiba sebelum matahari terbenam.

17hb September - Seawal 8.45 pagi para pendaki telah mula bersedia untuk meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Korbu. Group berkumpul dan berehat sambil menunggu orang terakhir di puncak Botak. Makan tengahari disini sambil merenung kedasyatan Chuban untuk dilalui selepas ini. Pendaki terakhir tiba di puncak Gunung Korbu pada lewat jam 3.00 petang. Selepas mendirikan khemah masing-masing, perjalanan diteruskan secara daypack ke puncak Gunung Gayong. Pendaki terakhir tiba kembali ke puncak Gunung Korbu pada lewat jam 8.45 malam.

18hb September - Menuruni puncak Gunung Korbu pada jam 9.45 pagi. Pendaki barisan hadapan berhenti rehat di Kem Kijang manakala pendaki yang berada di barisan belakang pula menikmati hidangan tengahari mereka di LWP. Lewat jam 9.30 malam pendaki terakhir tiba dengan selamat di Intake Point Empangan SAS Ulu Kinta dan keluar ke pintu empangan untuk mendapatkan kenderaan masing-masing.

Secara keseluruhannya, ekspedisi berjaya dan semua pendaki berpuas hati dengan pencapaian masing-masing. Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan berlaku disepanjang perjalanan ekspedisi. Diharap pendaki-pendaki yang terlibat tidak serik dan akan kembali beraksi untuk menakluk puncak-puncak tertinggi yang lain lagi pada masa hadapan.

Previous Home