May 9, 2011

Mendaki Gunung Besar Hantu


7-8 Mei 2011 - Bermula jam 5.30 pagi aku bergegas menaiki motorsikal melalui jalan-jalan berliku menghala ke Kuala Klawang daripada Seremban. Singgah di 7Eleven Ampangan, pekena sebotol minuman tenaga, berharap dapat memanaskan badan dan membuka mata ini agar lebih cekap disepanjang perjalanan. Kalau orang bukan Muslim dah pekena beer dah tu. Jam 6.50 pagi, aku selamat sampai di Kampung Chennah, iaitu tempat berkumpul dan bermulanya ekspedisi ini. Tiada kelibat seorang pendaki pun kelihatan. Apa nie? Janji jam 7.00 pagi semua dah berkumpul? Janji melayu yang susah untuk diubah.. biasalah (orang kata).

Jam 7.00 pagi, orang pertama yang aku kenali di kampung ini ialah abang pemandu trak 4WD yang bertanggung-jawap untuk menghantar kumpulan pendaki ini masuk ke Starting Point. Abang Aji namanya. "Sarapan dululah! Kat kedai depan tu macam ada geng kamu jer.. Cuba tengok.", kata Abang Aji. Ternyata benar kata-kata Abang Aji. Aku berkenalan pula dengan 3 orang pendaki muda, dari paras rupa seperti masih belajar. Rupa-rupanya pelajar UTHM (Tun Hussein Onn).

Sambil berborak dengan geng dari UTHM, barulah nampak batang hidung Encik Dan Crazyhamster bersama beberapa pendaki yang tidak ku kenali. Dengar kata rata-rata mereka daripada AmBank. Tambah lagi kenalan baru dalam dunia pendakian nie. Lewat jam 8.30pm kami bertolak daripada Masjid Kg Chennah menaiki 4WD 'gahai' Abang Aji. Maaf ye tapi memang teruk bebenor rupenye. Hehehehe...

4WD Gahai

Buat pengetahuan anda, trip pada kali ini tiada 'gogo' atau dengan kata lain organizer trip tidak hadir bersama-sama disebabkan masalah yang tidak dapat dikenal pasti. Beliau menggantikan atau mewakilkan Azlina Zaini (Lyn) untuk menguruskan perjalanan program seperti 4WD dan jurupandu. Jadi masing-masing boleh buat kepala sendiri lah. Nak ikut masa ke, nak jalan lambat ke, nak naik puncak ke, nak balik lambat ke... Flexible! "Janji kalau ada apa-apa masalah jangan libatkan aku..", dalam hati aku berkata. Boleh tak macam tu?

Hari pertama kami layan trek balak lebih kurang 2-3 jam. Kalau nak diikutkan tak jauh sangat dari Starting/Drop Point. Tiba di Check Point pertama iaitu Kem Air Kering. Ada juga aku bertanya kepada jurupandu kenapa kem tersebut dinamakan begitu..

"Mizan, sejarah tempat nie seperti nama-nama campsite kamu tahu ke?"
"Ntahlah.. yang saya tau Kem Air Kering je sebab dulu-dulu tempat tu tiada air. Tapi sekarang ada pulak!", kata Mizan dalam nada kebingungan.

Itulah salam pengenalan jurupandu kami yang baru sahaja menamatkan zaman persekolahannya (baru habis SPM). Mengikut pemerhatian aku, beliau memang arif dengan rentis ke gunung ini. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan mendaki bersama rakan-rakan beliau. Namun, kemahiran jika berlakunya sebarang masalah seperti tersasar laluan, kecederaan, gangguan haiwan mahupun alam ghaib masih tidak diuji lagi. Melihat Mizan ini aku terkenang diri aku semasa zaman persekolahan dahulu dimana Gunung Datok yang terletak di Rembau sudah menjadi tempat 'permainan', mencari ilham, santai dan mendekatkan diri dengan Allah swt. Tidak terkira banyak kalinya aku berjaya menjejakkan kaki diatas puncak tersebut.

Sambung kembali, perjalanan seterusnya mengambil masa lebih kurang 1-2 jam daripada Kem Air Kering untuk ke Check Point ke 2 iaitu Kem Orkid. Rentis ke Kem Orkid daripada Kem Air Kering agak mengelirukan sedikit kerana terdapat banyak simpang. Kalau tidak silap pendaki terakhir selamat tiba di Kem Orkid pada jam 3.30 petang. Kem ini terletak betul-betul diatas permatang menuju ke puncak Gunung Besar Hantu. Namun kedudukan kem ini tidak berapa strategik kerana menjadi laluan utama air mengalir jika hujan. Terdapat kesan runtuhan tanah disebelah kiri dan kanan tapak perkhemahan. Jarak daripada kem ke punca air agak jauh ke dalam hutan dan pendaki tidak digalakkan untuk ke punca air tersebut selepas senja berlabuh.

Kem Orkid

Malam kami dihiasi dengan jutaan bintang dilangit. Ditambah pula dengan kehangatan unggun api yang dibuat oleh geng pendaki AmBank menjadikan malam pertama lebih ceria. Tidak dinafikan kem ini sejuk mungkin kerana menjadi laluan angin dan dihimpit oleh 2 batang sungai disebelah kiri dan kanannya. Aku masih dalam 'Mode Bercuti', daripada petang hingga ke malam apa yang aku perlukan adalah tidur yang cukup! Bukan tak mau bersosial, tapi kadang-kadang aku nak juga masa bersendirian, layan jiwa.

Esoknya, seawal jam 8.00 pagi kami memulakan pendakian ke puncak. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 hingga 2 jam. Pendaki terakhir tiba pada jam 10.00 pagi. Puncak Gunung Besar Hantu ini boleh memuatkan lebih kurang 30-40 pendaki pada satu-satu masa. Boleh memuatkan sebanyak 4-5 buah khemah jenis Dome sahaja dan menjadi laluan angin pada sebelah petang hingga ke malam. Mempunyai batu penanda puncak, juga pemberitahuan sempadan Negeri Sembilan (NS) dan Pahang (PAH) diatasnya. Terdapat juga Beirut besi yang telah roboh dek dimamah usia. Pemandangan yang dapat dilihat dengan jelas ialah Bandaraya Kuala Lumpur, Genting Hihgland dan puncak-puncak gunung yang tidak dapat dikenal-pasti setiap namanya.

Sejurus menikmati keindahan yang Agung ini, kami bergegas turun semula ke Kem Orkid. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja. Sejurus tiba, kami mula berkemas untuk pulang melalui rentis yang sama melalui rentis hutan ke Kem Air Kering, dan jalan balak menuju ke Simpang Air Terjun Lata Kijang. Hari ini, 4WD akan mengambil kami di Lata Kijang. Rentis ke Lata Kijang nie 50% rentis hutan manakala selebihnya menuruni tangga besi yang tidak begitu kukuh buatannya. Tidak terkira berapa ratus anak tangga yang perlu kami turuni.

Sementara menunggu ketibaan 4WD sempat juga kami membilas badan di Lata Kijang. Fasiliti di kawasan air terjun ini masih rosak dan dalam keadaan terbengkalai dek kerana kes 'kepala air' dan tanah runtuh yang terjadi sebelum ini. Jam 5.00 petang kami dibawa keluar menggunakan khidmat kecemasan Trak Defender POLIS dan Pajero milik Abang Aji. Rupa-rupanya trak 4WD Abang Aji mengalami kerosakan dipertengahan perjalanan untuk mengambil kami di Lata Kijang.

Sebelum pulang ke Masjid Kg.Chennah, kami berhenti singgah di kebun durian milik Abang Aji yang sedang dalam proses untuk dibangunkan sebagai tapak perkhemahan dan riadah. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah berhanyut menggunakan rakit atau tiub-lori. Tempat ini diberi nama Rumah Bukit.

Line-up: Am, Encik Amir, Amir UTHM, Akmal dan Aweknya, Encik Dan Crazyhamster bersama geng AmBank iaitu Encik Din, Encik Wan, Encik Khairul dan Kak Long serta pendaki bebas Encik Gary dan Cik Tracy

Previous Home