Nov 29, 2010

Mount Penelope (1834m)


Selama ini hanya merancang, tidak sangka akhirnya terdetik saat ini untuk meneruskan perancangan ini. Rintis rentis ke Gunung Penelope (1834m) yang terletak di kawasan Rizab Melayu Kampung Raja ini akhirnya berjalan dengan lancar dan jayanya. Tanggal 26hb November 2010 yang lalu, aku bersama Harikrishna Batunipah ditemani oleh para gadis iaitu Siti Nurhidayah dan Anis Saedah bergerak ke Cameron Highland melalui Simpang Pulai pada jam 10 malam. Kami tiba di Kampung Raja pada jam 4 pagi, dan menumpang tidur di Surau. Keesokan harinya bermulalah satu pendakian yang tiada puncuk pangkalnya.  

27hb November 2010 (Sabtu)

Dimana-mana ada sahaja rakan seperjuangan, di Surau ini juga aku terserempak dengan En.Stone yang mengikuti aktiviti pendakian ke Gunung Yellow dan Pass. Anjuran siapa aku pun kurang pasti, dan kami minum kopi sama-sama di warung berdekatan. Pagi ini Harikrishna Batunipah bangun agak lewat mungkin dek kerana keletihan memandu. 4 jam sebelum..  

A: Hari ko nampak apa yang aku nampak? Jom..
H : Nampak apa?? (terpinga-pinga dipagi hari
)

Tiba sahaja di Surau aku terus buka peta dan cari bearing Gunung Penelope dari Kampung Raja yang akhirnya menemukan kami dengan bayang gelap gunung tersebut.

A : Gunung Penelope!! (dengan nada ghairah)
H : Haa.. betul lah tu (sambil masing-masing menunding jari ke arah gunung tersebut)


Jam 10.00 pagi, kami membuat keputusan untuk mendaki kebun sayur tertinggi. Setelah berada di kawasan paling tinggi, kami cuba memasuki permatang ke gunung ini. Cabaran pertama, membuka laluan yang dilitupi oleh pokok-pokok Strawberry liar sehingga menemukan kami dengan papan-tanda larangan. Bertemu dengan paip air yang melintang dari kiri ke kanan permatang. Membuat pilihan pertama iaitu menyusuri paip ke kiri untuk mencari permatang terdekat. Rentis banyak menurun, off-bearing, ikut lereng bukit dan ikut paip air.

Jam 11.00 pagi, melalui kawasan pokok pisang. Jam 11.50 pagi tiba di satu kawasan yang agak lapang, terlintas di fikiran untuk menjadikan tempat ini sebagai campsite, kawasan sekeliling agak lembap. Jam 12.15 tengahari kami bertemu dengan punca air. Meneruskan perjalanan dengan menyusuri paip mendaki. Sepanjang perjalanan kami bertemu dengan air terjun dan tangki air warna biru. Mengambil keputusan untuk mendaki terus untuk mencari permatang. Jam 1.00 petang, berhenti rehat makan tengahari.

Kami mengikat Belon Biru yang dijumpai di pertengahan perjalanan naik pada sebuah pokok besar. Meneruskan perjalanan pada 1.45 petang mengikuti permatang di sebelah kiri. Tiada kesan laluan di sepanjang perjalanan ini dimana kami menganggarkan bahawa kami merupakan pendaki pertama yang melalui permatang ini. "Pokok di Tumbang Duri di Buang". Tidak dapat dibayangkan betapa letihnya tangan kanan kami ini menebas dan melibas sambil menakik.

Perjalanan akhirnya berhenti pada jam 3.45 petang dimana kami ditemukan dengan sebuah kawasan berbuluh yang agak luas (sesuai untuk dijadikan sebagai tempat permandangan) dan terdapat kesan sampah makanan yang ditinggalkan pendaki terdahulu. Kesan terbaru yang dapat dikesan adalah pada awal Febuari yang lalu.

H : Penelope?
A : Tengok jam ko berapa tinggi sekarang..
H : 5860 kaki
A : Kejap aku buat kira-kira. Dapat 1786m
H : Perghh.. Macam ketinggian Cecil jer.. (Gunung Cecil 1768m)
A : Ntah, jom tengok view.. (Punyalah menebas tahap tak ingat..)
H : Kalau ada GPS senang sikit boleh match coordinat dengan topo nie
A : Aku nampak kebun sayur je. Kebun sayur mana aku tak pasti... (-_-)"


Aku pun tak berapa pasti SUUNTO mamat nie betul atau tidak. Namun tidak mungkin kami terlajak ke Gunung Cecil. Akhirnya kami memutuskan untuk campsite disini sahaja memandangkan hari semakin gelap dan berusaha memecahkan kebuntuan. Malam tersebut aku periksa kedudukan melalui GPS handphone milik Siti Nurhidayah. Mendapat bacaan 4° 33' 51" N, 101° 25' 42" E. Sudahhh.. macam-mana nak convert nie?? Haha.. masing-masing dah pening. Catatan suhu disini pada malam ini adalah dalam lingkungan 16-18°c.

28 November 2010 (Ahad)

Hari ini aku memutuskan untuk meneruskan sedikit lagi perjalanan ke hadapan kerana terdapat rentis yang agak luas dan mempunyai tanda-tanda kehadiran pendaki melaluinya. Campsite diruntuhkan dan beg ditinggalkan. Rintis rentis diteruskan.. membawa kami melalui permatang mendaki. Keadaan dan perasaan aku ketika melalui rentis ini adalah seperti perasaan untuk tiba ke sesebuah puncak gunung. Trek yang berlumut menguatkan lagi firasat ini. Ketinggian pada kawasan tertinggi yang kami lalui pada ketika ini ialah 5870 kaki. Bersamaan 1789m.

Kami BUNTU! Seperti biasa aku buka topo kembali dan cuba mengambil bearing baru. Sah! Kita berada di puncak Gunung Penelope. Tapi kenapa ketinggian tidak sama dengan topo? Maka dengan ini kami memutuskan untuk meninggalkan kesan pendakian kami iaitu Lafuma Spork yang berwarna oren di tapak campsite tersebut. Hajatnya nak digunakan untuk menandakan puncak. Lain kali kami datang lagi untuk memastikan ketepatan maklumat ini. Maaf jika pada pandangan anda perbuatan kami melanggar etika pendakian.

Perjalanan pulang agak jauh tersasar dari landasan. Kelmarin ketika hampir tiba campsite, rentis yang kami lalui bertembung dengan rentis lain. Jadi pada perjalanan turun ini kami ingin mencuba sesuatu yang baru. Kami turun melalui rentis yang lain (rentis kiri), mengikut bacaan bearing rentis ini akan membawa kami turun terus ke kebun sayur semalam. Namun sangkaan kami meleset. Bacaan positif untuk 3/4 perjalanan sahaja. Ini kerana permatang yang menyambungkan rentis ini dengan kebun sayur semalam putus begitu sahaja.

Kami terjebak dengan laluan paip air yang menyambungkan punca air bukit dengan kebun-kebun sayur Kampung Raja ini. Mahu tidak mahu kami terpaksa mengikuti laluan paip air ini sehingga keluar ke kebun sayur dan berjumpa dengan beberapa Bangla/Nepal.

A : Boleh tumpang tanya ini kawasan mana? Kampung Raja?
Tiada sebarang jawapan
H : Ini tempat apa nama?? (dengan nada kuat sedikit)
B/N : Korina (takut-takut)
A : Boleh tunjuk jalan ke Kampung Raja?
B/N : Sana (sambil menunjukkan ke arah 'sana')
Baru aku tahu kenapa Bangla/Nepal tu macam takut kepada kami. Mana tidaknya, mungkin pertama kali tengok orang keluar daripada semak dengan pakaian tentera, ada radio dan parang terselit di pinggang. Jam 3.30 petang, jalan punya jalan akhirnya keluar daripada kebun sayur dan menemukan kami dengan kawasan penempatan baru iaitu Taman Corina.

Alhamdulillah! Nasib baik kami masih berada dalam kawasan Kampung Raja. Ingatkan sudah tersasar jauh. Kami menapak pulang ke tempat parkir kereta dan membersihkan diri. Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan ekspedisi terjah ini. Berbekalkan peta topo lama, kompas pinjam, jam suunto dan parang akhirnya menciptakan satu pengalaman dan memori indah untuk kami jadikan kenangan.

Aku? Mungkin akan kembali dengan niat untuk melakukan 'pembalakan haram' dengan harapan dapat membuka view puncak gunung ini! Semoga dengan maklumat yang disampaikan ini juga dapat membuka minat pendaki-pendaki gunung lain yang sudah bosan melalui rentis komersial untuk keluar daripada zon keselesaan dan menimba pemngalaman lebih melalui projek eksplorasi gunung seperti ini.


Line-up: Am, Harikrishna Batunipah, Dayah, dan Anis Saedah

Previous Home