Feb 12, 2005

Transpex Success

Puncak Yong Yap

TRANSPEX VERSION 2.0
(4-11 Febuari 2005)

Alhamdulillah ekspedisi Transpex 2.0 berakhir dengan kejayaan tanpa sebarang masalah mahupun kecelakaan dan yang paling membanggakan adalah kami tidak menggunakan khidmat jurupandu untuk menghabiskan keseluruhan trek hutan yang memakan masa selama 7 hari ini. Perasaan terkilan masih terasa di lubuk hati ini kerana jurupandu orang asli yang sepatutnya membawa kami keluar dari hutan belantara tersebut membuat keputusan untuk kembali ke kampungnya di Kuala Mu. Jurupandu tersebut hanya sempat membawa kami menuruni puncak Gunung Yong Yap sahaja.

Akan tetapi kami telah menanamkan sikap pantang berundur jika sudah mara ke hadapan. Kami tetap meneruskan perjalanan yang cukup mengelirukan dan bahaya tanpa orang yang berpengalaman dalam ekspdc ini. Perjalanan kami diketuai oleh presiden kelab iaitu Adik dan meredah dengan hanya berpandukan tanda-tanda takukan lama di pokok. Berdasarkan keadaan tanda takukan dan ikatan kain merah di pokok serta keadaan trek yang ditutupi semak samun, kami dapat rasakan bahawa trek yang bakal kami lalui ini sudah lama tidak dilalui oleh para pendaki.

Dengan azam dan tekad kami telah menandakan tag di setiap simpang dan trek yang agak keliru. Hari kedua kami disambut dengan pepohon berduri dan semak-samun. Walaupun keadaan kami pada masa tersebut agak kritikal, berdasarkan pengalaman peserta yang terlibat yang sudah biasa dengan keadaan hutan, kami dapat mengawal emosi dan sentiasa dalam keadaan bersahaja agar perjalanan kami selamat dan tidak menyusahkan rakan-rakan yang lain.

Hampir setiap hari saya dan Adik berada di hadapan menebas belukar agar perjalanan rakan-rakan di belakang tidak terganggu. Penat tangan menebas, lenguh kaki melangkah, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kami sentiasa berusaha untuk bergerak dengan lebih pantas semata-mata untuk mengejar masa. Kami juga telah sedaya upaya untuk memahami dan mengkaji laporan dari pendaki yang pernah melalui laluan trans ini. Malang sekali setiap apa yang kami fahami berdasarkan laporan tersebut kebanyakannya menyimpang dari apa yang kami lalui. Laporan tersebut agak keliru dan tidak lengkap. Keadaan muka bumi, sungai yang perlu kami lalui dan masa, semuanya menjadi seperti tidak betul. Mungkin itu hanya mainan fikiran kerana kami terpaksa melalui detik ini tanpa jurupandu.

Hampir setiap hari bos bagi kami kerja lebih masa. Tapi kami tak kisah, kami akur dan mengikut segala apa yang diarahkan oleh ketua kami. Kami terpaksa bekerja keras untuk berjalan hingga lewat malam kerana kami bangun agak lewat dari jadual yang sepatutnya. Sendiri buat sendiri tanggung, bangun lambat jalan berkampung beb..

Ada ketika dalam keadaan tertentu kami terpaksa membaca bearing kompas untuk mengenal-pasti arah tujuan yang sebenarnya agar tidak menyimpang dari laluan asal. Sudah acap kali kami beranggapan bahawa kami telah tersasar dari laluan asal. Bayangkan kumpulan pendaki muda yang masih setahun jagung dalam arena pendakian menyusur hutan tebal yang dikelilingi gunung-ganang, semuanya berlaku tanpa pengalaman yang luas dan khidmat jurupandu. Syukur kerana mental kami tidak terjejas dengan keterlaluan. Tawakal merupakan kunci utama kami.

Ada ketika kami dikehendaki meniti laluan kambing gurun di atas puncak Gunung Permandangan. Masing-masing seakan tidak percaya bahawa mereka terpaksa lalui titian trek yang paling merbahayakan dalam tempoh 7 hari tersebut. Pada masa ini hanya perasaan sayangkan diri sendiri dapat menyelamatkan keadaan. Bayangkan anda terpaksa lalui satu permatang batu dimana kiri dan kanan merupakan gaung yang amat curam. Jika angin bertiup kencang sedikit atau hujan turun dengan lebatnya sudah pasti kami tidak dapat mengimbangi badan yang menggalas beg yang berat dan kemungkinan untuk tergelincir ke bawah amat tinggi. Walau bagaimanapun kesemua peserta selamat dan kami tidak mungkin dapat melupakan keadaan pemandangan dari puncak tersebut, detik paling indah sehingga mampu menitiskan air mata.

Memandangkan keadaan masa perjalanan kami yang lewat dan tidak menentu, hampir semua tempat perkhemahan kami bukan di kawasan yang sepatutnya. Ada kalanya kami terpaksa tidur di tengah-tengah laluan, di kawasan pokok bonsai dan kawasan-kawasan yang disyaki sebagai laluan binatang seperti beruang. Sudah acap kali ketua kami terserempak dengan beruang serta mendengar bunyi binatang tersebut. Kami hanya mampu berdiam dan buat tidak tahu bagi mengawal keadaan.

Akhir sekali kami terpaksa lalui detik paling menjejaskan mental dimana disaat akhir perjalanan pulang kami ditutupi kabus, dan Along yang pernah melalui satu kawasan untuk ke jalan besar (utama) melalui trek balak di kawasan kebun sayur menjadi was-was dengan jalan yang kami lalui, selain itu tujahan pertanyaan kesangsian di kepala kami yang penat berjalan tetapi tidak sampai-sampai menjadikan Along serba salah dan berpatah kembali ke kebun sayur untuk meminta bantuan. Akhirnya seorang pekerja kebun sayur tersebut rela untuk membawa kami keluar. Paling memedihkan hati adalah kerana trek yang yang kami lalui selama 2 jam tersebut memang betul, cuma emosi kami yang melarang kami meneruskan perjalanan. Syukur kerana kami selamat tiba dan menunggu ketibaan bas untuk mengambil kami pulang ke kolej.

Ekspedisi ini merupakan cabaran paling bersejarah dan projek terbesar selain daripada ekspedisi seperti Trans Titiwangsa yang pernah kelab lakukan. Kamilah 'trailblazer' dari Kuala Lumpur Infrastructure University College projek naungan Kelab Kembara dan Rekriasi (ADREX). Syabas kepada semua peserta.

Lelaki: Nas, Jat, Jeff, Nos, Adik, Along, Gee, Botak, Am.
Perempuan: Min, Zira, Dayah

Previous Home